PEKAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) akan mengagihkan bantuan tahunan hari raya sebanyak RM5.84 juta kepada 11,983 ketua isi keluarga (KIR) membabitkan penerima agihan bantuan zakat bulanan dan asnaf fakir miskin untuk tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Dato’ Ahmad Hairi Hussain, berkata ia membabitkan jumlah RM2.78 juta kepada 5,556 KIR penerima agihan bantuan zakat bulanan dan RM3.07 juta untuk 6,427 KIR asnaf fakir miskin di Pahang.
Selain itu, katanya, golongan saudara baharu dan saudara muslim turut diberikan bantuan tahunan hari raya dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1.73 juta merangkumi 3,898 KIR.
“Agihan ini adalah sempena Ramadan yang akan menemui umat Islam tidak lama lagi.
“Di samping itu, MUIP juga akan mengagihkan sumbangan kepada 676 masjid dan surau kebenaran Jumaat selain tiga masjid IPTA (institusi pengajian tinggi awam) di Pahang membabitkan jumlah RM4.2 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengumumkan kadar zakat fitrah negeri Pahang bagi 1443H/2022M di Bilik Mesyuarat Utama MUIP di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, MUIP menyasarkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM7.5 juta untuk tahun ini, berbanding RM7 juta tahun lalu.
Menyentuh mengenai kadar bayaran zakat fitrah tahun ini, beliau berkata, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku ketua agama Islam di negeri ini, memperkenankan kadar zakat fitrah sebanyak RM7 bagi tahun 1443 hijrah.
“Bagi melancarkan urusan kutipan zakat fitrah, seramai 930 amil zakat fitarh ditauliahkan untuk melaksanakan urusan kutipan zakat fitrah di negeri ini.
“MUIP juga menyediakan kemudahan pembayaran zakat fitrah secara online melalui capaian ezakat.muip.gov.my,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN