Muip bantu anak yatim ke sekokah

Muip bantu anak yatim ke sekokah

PEKAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyumbangkan wang saku sebanyak RM4,700 kepada 95 anak yatim di daerah ini untuk persiapan persekolahan tahun depan.

Mereka juga menerima pakaian seragam sekolah disumbangkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Infaqniah yang turut dibantu Skuad Ukhwah Pekan.

Pengurus Muip Cawangan Pekan, Muhammad Hafidz Abdul Halim, berkata setiap tahun pihaknya menyediakan pelbagai bantuan kepada anak yatim di daerah ini sebagai usaha meringankan beban keluarga mereka.

“Kita ingin pastikan anak yatim yang bersekolah mendapat bantuan persekolahan supaya mereka tidak berdepan masalah apabila sesi persekolahan bermula.

“Mereka perlu ke sekolah dalam keadaan selesa supaya dapat memberi sepenuh tumpuan dalam pembelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Bantuan Persekolahan Anak Yatim Daerah Pekan yang disempurnakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) Muip, Dr Asmadi Abdul Rahman, di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Infaqniah, Fazilah Wahab.

Mengulas lanjut, Muhammad Hafidz  berkata, selain bantuan persekolahan pihaknya juga akan mengadakan program berkhatan membabitkan anak asnaf mualaf lebih 50 orang, Sabtu ini. – MOHD IMRAN IZZAD.