MUIP bantu golongan miskin bandar dekati agama

MUIP bantu golongan miskin bandar dekati agama

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) mengadakan program solat berjemaah dan kelas al-Quran khusus untuk golongan miskin bandar di daerah ini.

  Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, turut dibabitkan dalam program yang kali pertama diperkenalkan itu ialah bekas penagih dadah yang sedang menjalani pemulihan dan golongan gelandangan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman menyampaikan ceramah agama kepada golongan miskin bandar di surau Jalan Bukit Ubi, Kuantan.

  Menurutnya, usaha menarik golongan pondan dan penghuni lorong untuk turut sama kini sedang dilakukan dengan kerjasama sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Dapur Infaq Ummah.

  Katanya, selepas lebih sebulan program berkenaan diadakan, sambutan menggalakkan diterima daripada golongan terbabit yang inginkan ilmu rohani selepas sebelum ini mengabaikan tanggungjawab pada agama disebabkan terlalu mengikut hawa nafsu.

  “Selepas menunaikan solat maghrib secara berjemaah, ceramah agama disampai ustaz dalam masa 10 hingga 15 minit. Golongan kanak-kanak pula diajar membaca al-Quran.

  “Rata-rata mereka dilihat inginkan bimbingan serta tunjuk ajar ilmu agama terutama selepas mengabainya sebelum ini,” katanya.

  Beliau berkata demikian selepas turut serta menunaikan solat maghrib berjemaah dan kemudian menyampaikan ceramah agama di surau Jalan Bukit Ubi, di sini.

  Dr Asmadi menambah, selepas selesai ceramah agama, peserta dihidangkan makan malam percuma yang disediakan NGO menerusi peruntukan MUIP sebanyak RM50,000 sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

  Katanya, program solat berjemaah dan ceramah agama yang diadakan dapat memberi keinsafan sebenar golongan terbabit yang ada di kalangan mereka sebelum ini bergelumang dengan dosa.

  “Sudah tiba masanya MUIP membimbing golongan terbabit untuk kembali ke pangkal jalan. Episod hitam dilalui sebelum ini diharap tidak terus diulangi,” katanya.

  Bagi Lily, bukan nama sebenar, terlalu banyak dosa yang dilakukan sebelum ini disebabkan terlalu mengikut nafsu muda sehingga lupa pada dosa dan pahala.

  “Hari ini saya insaf dan bertaubat dengan perbuatan lalu, saya akan berusaha melakukan semua suruhan Tuhan. Program solat berjemaah dan ceramah agama yang diadakan dapat MUIP tepat pada masanya,” katanya.