PEKAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyuntik bantuan RM65,000 bagi proses melupuskan al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran yang rosak akibat banjir akhir tahun lalu.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, bantuan berkenaan diberikan kepada Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Bentong, Temerloh, Kuantan, Lipis, Raub dan Rompin.
Menurutnya, bantuan yang disediakan itu bagi meringankan beban Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) yang terpaksa menanggung perbelanjaan mengumpul, memproses dan melupuskan bahan bacaan terbabit.
“JAIP hanya mempunyai satu pusat pelupusan di Pekan dan hanya mampu melupuskan kira-kira 100 kilogram al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran.
“Pusat pelupusan swasta di Kampung Temin, Jerantut turut digunakan. Oleh itu, JAIP perlu membayar perkhidmatan mengikut berat bahan bacaan yang hendak dilupuskan,” katanya selepas melawat pusat pelupusan milik JAIP, di sini, semalam. .- MOHD IMRAN IZZAD