Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Disebabkan malu untuk menagih bantuan bagi menyara keluarga selepas kehilangan kerja, seorang lelaki sanggup menumpang pondok usang terletak dalam kebun bersama keluarganya.

Kisah berkenaan didedahkan oleh Setiausaha Kehormat Sekretariat Majlis Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang (MAKPEN), Salamon Ali Rizal Abdul Rahman, yang berpeluang bertemu lelaki berkenaan untuk melihat keadaan sebenar.
Katanya, pawa awalnya lelaki terbabit yang sebelum ini bekerja dengan syarikat swasta sebagai pelukis pelan menghubunginya semata-mata untuk meminjam RM100 untuk perbelanjaan keluarga.
Menurutnya, apabila ditanya, barulah lelaki berkenaan menceritakan kesusahan yang dihadapi selepas terputus sumber pendapatan kerana tidak berkerja berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Lelaki 30-an bersama anak berusia dua tahun dan isterinya yang sedang hamil .
menumpang pondok dalam kebun di Sungai Soi.
“Selepas diberhentikan kerja lelaki berkenaan bersama isterinya menjalankan perniagaan menjual kuih namun berikutan PKP 3.0 mereka tidak dapat meneruskan berniaga.
“Sebagai ketua keluarga lelaki berkenaan dan isterinya reda apabila terpaksa berpindah ke pondok dalam kebun selepas tidak dapat menjelaskan sewa rumah,” katanya, di sini semalam.
Beliau berkata, ketika dirinya bersama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Dr Asmadi Abdul Rahman bertemu beberapa kali lelaki itu dipondoknya, dia menyatakan rasa malu kerana seolah menagih simpati dan mengharapkan bantuan.
Salamon Ali Rizal berkata, lelaki terbabit mendakwa tidak sepatutnya dia menerima bantuan kerana dia sihat dan masih boleh bekerja.
“Lelaki berkenaan berharap ada pekerjaan yang sesuai buatnya. Dia memiliki kelulusan diploma kejuruteraan,” katanya yang menyampaikan bantuan keperluan asas kepada keluarga itu.
Sementara itu, Dr Asmadi berkata pihaknya menyediakan bantuan segera seperti RM800 tunai kepada keluarga lelaki berkenaan untuknya memulakan hidup baharu.
“Kita akan membantu menyelesaikan bayaran tunggakan rumah sewanya dan beberapa hutang lain. Bantuan kewangan termasuk bayaran sewa rumah akan diberikan selama enam bulan.
“Bantuan berkenaan diharap dapat memberi sinar baharu kepada lelaki berkenaan sekeluarga,” katanya.