MUIP bantu mualaf OKU cedera dalam kemalangan

MUIP bantu mualaf OKU cedera dalam kemalangan

LIPIS: Tidak terucap dengan kata-kata, seorang mualaf yang juga orang kurang upaya (OKU), Muhamad Adam Lee Abdullah hanya mampu bersyukur apabila diziarahi Pengurus Cawangan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Lipis, Aliuddin Abdul Halim@Bakar di Kampung Penjom dekat sini, kelmarin.

Adam yang memeluk Islam pada November 2020, kelihatan sangat ceria menerima sumbangan wang tunai dan hamper makanan daripada MUIP. 

Adam yang cacat kekal, iaitu kudung tangan kiri, baru-baru ini terbabit dalam kemalangan di tempat kerja bulan lalu yang menyebabkannya patah kaki kanan dan masih menerima rawatan.

“Saya masih tidak mampu berjalan cuma berkerusi roda di rumah kerana kaki kanan patah teruk dan  masih belum sembuh selepas dibedah untuk memasukkan empat batang besi ketika dirawat di Hospital Lipis.

“Penderitaan yang saya tanggung ini menyebabkan saya tak mampu bekerja, tetapi mujurlah tauke kebun durian tempat saya bekerja memahami keadaan ini dan membenarkan cuti sehingga benar-benar sembuh,” katanya. 

Turut sama dalam ziarah itu, Ketua Saudara Baharu Daerah Lipis, Mohd Fawzy Fong Abdullah.

Menurut Adam, sebelum memeluk Islam, dia yang berasal dari Selangor merantau ke Lipis untuk mencari pekerjaan dan bersyukur dapat bekerja di kebun durian walaupun hanya memperoleh upah kecil. 

“Saya masih mempunyai keluarga tinggal di Selangor, iaitu emak dan dua orang kakak, manakala abang yang juga seorang OKU yang tidak boleh berjalan,” katanya. 

Katanya, dia cuma mampu menunggang motosikal menggunakan sebelah tangan (kanan) ke tempat kerja, tetapi malangnya terbabit pula dengan kemalangan. 

“Saya  berterima kasih dengan sumbangan MUIP Lipis yang juga menyediakan kerusi roda,” katanya.

Sementara itu, Aliuddin berkata, MUIP sudah dua kali menziarahi Adam dan menyampaikan sumbangan kepada Adam Lee memandangkan dia masih tidak bekerja dan tanpa pendapatan selepas terbabit dengan kemalangan.

“Kita berharap Adam Lee bersabar dengan ujian Allah SWT dan segera sembuh seperti sedia kala bagi meneruskan kehidupan,” katanya. – MUHAMMAD NAJMIE