TEMERLOH: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyumbang RM16,850 kepada Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Wilayah Pahang bagi menyediakan pelbagai kelengkapan pusat berkenaan.
Pengarah Bahagian Agihan Zakat MUIP, Muhammad Hafidz Abdul Halim berkata, bantuan berkenaan turut akan digunakan untuk mengadakan pelbagai aktiviti keagamaan untuk ahli.
“Saya berharap sumbangan kewangan itu dapat dimanfaatkan terutamanya dalam menambahkan lagi kefahaman ilmu agama kepada setiap ahli.
“Persatuan juga perlu berusaha membantu ahli menambah sumber pendapatan dengan cara menganjurkan latihan kemahiran,” katanya pada Majlis Penyerahan Bantuan kepada PERTIS Wilayah Pahang, di sini, 22 Mei lalu.
Hadir sama Penaung PERTIS Wilayah Pahang Orang Kaya Indera Pahlawan Dato’ Sri Wan Abdul Wahid Wan Hassan dan Pengerusi PERTIS Wilayah Pahang, Ghulam Al Dakwah. – MOHD IMRAN IZZAD