MUIP bantu ringankan beban Azhar

MUIP bantu ringankan beban Azhar

KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyediakan bantuan kewangan secara bulanan kepada Azhar Mohamad, 37, yang diserang angin ahmar ketika bekerja di Korea Selatan pada Ogos lalu.

Selain bantuan RM800 sebulan yang disediakan bagi menampung perbelanjaan harian, Azhar turut diberikan bantuan sekali bayar (one-off) sebanyak RM2,000.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman, berkata bantuan bulanan mula dibayar bulan depan yang diharap dapat digunakan untuk membeli lampin pakai buang selain kos perubatan diperlukan Azhar.

Menurutnya, bantuan one-off pula akan dibayar beberapa hari lagi, manakala kemudahan peralatan lain seperti kerusi roda sudah disediakan pihak lain.

“Saya difahamkan keluarganya dah bawa dia (Azhar) berurut dan proses berkenaan akan dilakukan secara berterusan sehingga beberapa peringkat dan kini tahap kesihatanya dikatakan semakin memuaskan.

“Saya kagum melihat semangat persaudaraan yang begitu kuat dalam kalangan adik beradik Azhar yang menjaganya sejak dia diserang angin ahmar ketika berada di Korea Selatan pada Ogos lalu,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD