KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) membiayai kos umrah untuk enam individu selepas tertangguh hampir dua tahun kerana wabak Covid-19.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, pihaknya memperuntukkan RM56,660 bagi tujuan berkenaan.
Menurutnya, enam individu itu adalah pendakwah di kalangan masyarakat Orang Asli yang bergiat aktif dalam melaksanakan kerja dakwah di negeri ini.
“Setiap tahun MUIP menyediakan peruntukan khas untuk menaja enam hingga tujuh individu termasuk pegawai pengiring daripada MUIP yang telah dikenalpasti.
“Kali ini enam individu terpilih terdiri daripada penyelaras dari Pembangunan Insaniah Masyarakat Orang Asli (PePIMA), pendakwah Masyarakat Orang Asli, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim ), Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) dan pegawai daripada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) serta MUIP,” katanya.
Beliau berkata, pemilihan itu dibuat berdasarkan komitmen mereka atau sokongan mereka dalam program dakwah anjuran MUIP.
“Kita yakin melalui program tajaan ini menjadi satu penganugerahan kepada mereka yang giat berdakwah dan memberi semangat kepada individu lain untuk meneruskan usaha dakwah pada masa akan datang,” katanya.- MOHD IMRAN IZZAD.