KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) mengagihkan zakat pendidikan RM333,000 bagi membiayai 86 penuntut yang melanjutkan pengajian ke negara Timur Tengah, tahun ini.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, kesemua mereka menyambung pengajian ijazah di Universiti Al Azhar, Mesir, Universiti Mu’tah dan Universiti Yarmouk, Jordan.
Katanya, semua penuntut Pahang yang melanjutkan pengajian di Mesir dan Jordan menerima pelbagai kemudahan disediakan kerajaan Pahang termasuk asrama dan pegawai pengiring.
“Setiap tahun MUIP menyediakan bantuan ini yang disediakan bagi meringankan beban penuntut dan keluarga terutama di peringkat awal kemasukan,” katanya, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulaskan kejayaan 22 penuntut yang berjaya melanjutkan pengajian ke Universiti Al Azhar, kelmarin.
Dr Asmadi berkata, setiap penuntut menerima bantuan zakat pendidikan RM3,800 beberapa minggu sebelum berlepas. – MOHD IMRAN IZZAD