Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Pic Mohd Imran Izzad
KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) mengagihkan
bantuan bencana kepada 1,000
ketua isi rumah (KIR) di dua lokaliti berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah ini, semalam.
Kawasan terbabit ialah Taman Tanah Putih Baru dan Perumahan Kemunting yang penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum. Setiap KIR menerima keperluan asas bernilai RM70.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, bantuan bencana berupa keperluan asas bernilai RM70,000 itu diagihkan secara berperingkat terutama apabila ada penduduk Tanah Putih Baru meninggalkan kediaman mereka sebelum ini.
Katanya, bantuan diberikan bagi meringankan beban penduduk di kedua-dua kawasan terbabit yang tidak dibenarkan keluar dari perumahan tempat tinggal mereka bagi mengelak sebarang kemungkinan jangkitan wabak COVID-19.
Menurutnya, bantuan keperluan asas diberikan seperti beras, minyak masak, tepung, gula, kicap, sos, susu, kopi, biskut dan bihun.

“Terdapat kira-kira 1,000 penduduk di dua lokaliti berkenaan yang kini tidak dibenarkan keluar daripada kawasan penempatan mereka melainkan kes tertentu.
“Penyelarasan bantuan berkenaan dilakukan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah Kuantan yang turut dianggotai beberapa agensi berkaitan,” katanya selepas turut sama mengagihkan bantuan berkenaan.
Beliau menambah, bantuan diberikan diharap dapat meringankan beban penduduk setempat yang pastinya tertekan apabila tidak dapat keluar dari kawasan perumahan mereka.
Penduduk Taman Tanah Putih Baru, Zainal Mat Din berkata, bantuan yang disediakan MUIP dapat meringankan beban dia sekeluarga terutama apabila tidak dapat keluar ke kedai bagi mendapatkan bekalan makanan.
“Ini semua ujian Yang Maha Esa bagi menguji kesabaran saya dan penduduk setempat, kami semua kini tidak boleh bebas,” katanya yang akur apabila tempoh PKPD Taman Tanah Putih Baru dilanjutkan.