MUIP kutip zakat harta RM178 juta tahun lalu

MUIP kutip zakat harta RM178 juta tahun lalu

KUANTAN: Sejumlah RM178 juta zakat harta dikutip Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) yang membabitkan 95,000 pembayar, tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Ahmad Hairi Hussain, berkata walaupun berdepan kekangan terutama penularan COVID-19, kutipan itu melepasi sasaran RM170 juta.

Katanya, pada 2020, kutipan zakat harta berjumlah RM158.2 juta dan menunjukkan peningkatan ketara iaitu penambahan sebanyak RM19.8 juta berbanding tahun lalu.

“Daripada jumlah itu, penyumbang utama kutipan tertinggi ialah zakat pendapatan berjumlah RM86.6 juta daripada 75,710 pembayar zakat,” katanya.

Ahmad Hairi berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Badan Korporat dan Anugerah Zakat di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hadir sama, YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN