MUIP lantik 30 Mutawalli

MUIP lantik 30 Mutawalli

KUANTAN, 27 Feb 2025 (FIKRAH PAHANG) – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) telah melantik 30 individu sebagai Mutawalli Khas Wakaf Pahang. Mereka bertanggungjawab memastikan tanah wakaf diurus secara berstruktur dan memberi manfaat kepada umat Islam.

Timbalan Yang Dipertua MUIP, Tengku Panglima Raja Brigadier Jeneral, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah, berkata bahawa majlis pelantikan Mutawalli ini menandakan satu detik bersejarah dalam usaha memperkukuhkan sistem pengurusan wakaf di Pahang.

Jelasnya, pelantikan ini melambangkan komitmen MUIP sebagai institusi yang diamanahkan untuk memastikan tanah wakaf diurus secara lebih berstruktur, cekap, dan memberi manfaat jangka panjang kepada umat Islam, selaras dengan Enakmen Wakaf Pahang 2022.

“Insya-Allah, komitmen ini akan terus dijunjung demi memastikan amanah pewakaf terpelihara hingga ke akhir hayat,” katanya pada Majlis Pelantikan Mutawalli Khas Wakaf yang diadakan di sebuah hotel di sini pada Selasa lalu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Dato’ Ahmad Hairi Hussain, dalam ucapannya berkata bahawa MUIP sebagai pemegang amanah tunggal melalui Wakaf Pahang akan memastikan semua Mutawalli yang dilantik mengendalikan harta wakaf mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

“Saya harap mereka jujur, amanah, dan bertanggungjawab serta tidak membiarkan harta wakaf terbiar tanpa penjagaan sewajarnya,” katanya dalam ucapan dimajlis tersebut.

Menurutnya lagi, Wakaf Pahang bersama Pusat Kutipan Zakat (PKZ) berusaha untuk meningkatkan bilangan potongan gaji penjawat awam melalui kerjasama dengan Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang (SUK). Bilangan pewakaf dari tiga sektor utama telah meningkat lebih 83 peratus, daripada 2,280 kepada 4,175 pewakaf, dengan kutipan sebanyak RM100,000 sebulan.

“Sempena Ramadan nanti, kupon wakaf bernilai RM5 dan RM10 akan dibekalkan kepada 917 orang amil fitrah sebagai usaha berterusan untuk meningkatkan dana Wakaf Pahang. Selain itu, Wakaf Pahang juga telah menempatkan tabung di 50 masjid terpilih di seluruh negeri ini,” ujarnya.

  • ZULKEPLI OSMAN