KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) mengagihkan sekurang-kurangnya RM594,000 bagi membantu pelajar miskin di sekolah menengah di negeri ini.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata bantuan disalurkan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah terbabit sebelum diagihkan kepada pelajar yang layak.
Menurutnya, bantuan itu digunakan bagi menampung keperluan pelajar miskin untuk makan dan minum serta keperluan peralatan pembelajaran bilik darjah.
“Kita ingin memastikan pelajar miskin di negeri ini tidak berhadapan masalah kewangan sehinggakan menjejaskan tumpuan belajar.
“Guru perlu berusaha mengesan pelajar yang berhadapan masalah kewangan kerana bantuan zakat yang disediakan memang ada untu digunakan sepenuhnya membantu pelajar miskin,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Agihan Zakat Pelajar Miskin kepada PIBG Sekolah Menengah Negeri Pahang 2022 di Hotel Grand Darul Makmur, di sini, semalam.
Hadir sama Ketua Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP), Yahaya Tahir.