MUIP salur bantuan buat surau Pondok Ribat Sullamuttaufiq

MUIP salur bantuan buat surau Pondok Ribat Sullamuttaufiq

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

PEKAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyalurkan sumbangan RM40,000 kepada Pondok Ribat Sullamuttaufiq, di sini, bagi menyiapkan pembinaan surau pusat pendidikan Islam itu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman, berkata sumbangan itu bagi menampung kos pembinaan surau terbabit yang mampu memuatkan lebih seratus pelajar pada satu masa.

PEKAN ..Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman (kanan) menyerahkan bantuan pembinaan surau kepada 
Pengerusi Pondok Ribat Sullamuttaufiq, Jamalizan Jalil selepas melawat surau Pondok Ribat Sullamuttaufiq yang dalam pembinaan.

Katanya, surau dengan rekaan yang menarik itu kini dalam fasa akhir pembinaan dan diharap sumbangan diberikan dapat menyegerakan pembinaannya.

Menurutnya, surau berkenaan bukan sahaja menjadi tempat untuk menunaikan solat tetapi juga sebagai kelas menghafal al-Quran dan pelbagai program keagamaan lain.

“Surau berkenaan amat penting untuk melancarkan lagi aktiviti pendidikan, apabila pelajar kembali ke sekolah jika mendapat kebenaran kerajaan. 

“Pondok Ribat Sullamuttaufiq adalah antara pusat pendidikan Islam di negeri di bawah selian MUIP dan layak menerima apa juga bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat dan menyampaikan cek bantuan pembinaan surau Pondok Ribat Sullamuttaufiq, Pusat Pengajian Islam al Quran dan As Sunnah Kampung Tanjung Agas, di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi Pondok Ribat Sullamuttaufiq, Jamalizan Jalil dan Mudir Ismail Ahmad.

Asmadi berkata, semua sekolah agama dan pondok yang berdaftar dengan MUIP perlu sentiasa mematuhi peraturan dan arahan bagi mengelak berlaku masalah dalam menguruskan pusat pendidikan agama itu.

“MUIP menyediakan peruntukan yang banyak setiap tahun. Kita ingin melihat lebih ramai pelajar lepasan sekolah agama dan pondok berjaya dalam pelajaran,” katanya.