Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Pic Mohd Imran Izzad
KUANTAN: Bagi membantu operasi institusi pendidikan agama di negeri ini, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyalurkan bantuan pendidikan sebanyak RM1.2 juta dalam tempoh tiga bulan tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Dato’ Ahmad Hairi Hussain berkata, bantuan diberikan kepada insitusi pendidikan Islam termasuk Sekolah Agama Rakyat (SAR), maahad tahfiz, sekolah menengah agama Pahang, sekolah menengah, Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) dan dua universiti tempatan.
Menurutnya, turut menerima bantuan ialah golongan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah termasuk enam penuntut yang berjaya melanjutkan pengajian ke luar negara dalam bidang agama.
Katanya, bantuan antara RM20,000 hingga RM291,750 yang diberikan itu antaranya untuk pembelian bas, menyediakan peralatan asrama, baik pulih bangunan dan sumbangan Ihya Ramadan.
“MUIP akan terus menyalurkan bantuan kepada institusi pendidikan di negeri ini bagi melancarkan lagi aktiviti pendidikan agama seiring dengan keperluan semasa.
“Institusi pendidikan agama perlu terus dibantu dalam memastikan tidak ketinggalan dengan arus pendidikan negara,” katanya pada Majlis Penyampaian Replika Cek Sumbangan Kepada Institusi Pendidikan Negeri Pahang, di Pejabat MUIP Kuantan, di sini semalam.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman.
Beliau menambah, MUIP
mengucapkan terima kasih kepada pembayar zakat negeri Pahang kerana wang zakat yang dibayar itu membolehkan pihaknya mengagihkan bantuan kepada asnaf yang layak termasuk untuk institusi pendidikan Islam.
Ahmad Hairi berkata, sumbangan yang diberikan memberi peluang pihak terbabit mengadakan program pembangunan modal insan selain dapat menyediakan insfrastruktur yang lebih sempurna di institusi pendidikan Islam di negeri ini.
“Saya berharap institusi yang menerima sumbangan ini dapat menggunakan dengan sebaik-baiknya bantuan berkenaan untuk kegunaan keselesaan bersama,” katanya.
Bagi Rektor Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS), Prof Madya Dr Mohd Zawavi Zainal Abidin, bantuan yang diterima dapat digunakan untuk menyediakan kemudahan kepada pelajar dan kakitangan.
“KUIPSAS menerima dana penyelidikan sebanyak RM289,000, kita akan gunakan bantuan itu dengan sebaik mungkin dan hasil penyelidikan akan dikongsi dengan MUIP,” katanya.