MUIP santuni 60 warga emas, OKU lima kampung

MUIP santuni 60 warga emas, OKU lima kampung

JERANTUT: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) mengadakan pertemuan dengan 60 asnaf pada Program Cakna Asnaf Bersama Komuniti Mukim Tebing Tinggi, Jerantut di perkarangan Masjid Bukit Genting, semalam.

Program prihatin itu diadakan bagi melihat dan mendengar keluhan masalah dihadapi golongan itu yang terdiri daripada mereka yang mengalami masalah kesihatan, kurang upaya (OKU) dan warga emas.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, MUIP turut mengagihkan bantuan keperluan asas dan hasil produk syarikat pembayar zakat.

“Kita akan jadikan program cakna asnaf di setiap daerah di Pahang dalam usaha mendekati golongan itu dan melihat masalah dihadapi seterusnya memberi bantuan yang diperlukan.

“Program yang diadakan turut menjadi antara cabang dakwah yang menjadi tanggungjawab MUIP,” katanya yang bercadang mengadakan lebih banyak program keagamaan di kawasan luar bandar.

Program cakna asnaf itu anjuran Bahagian Agihan Zakat Ibu Pejabat MUIP, MUIP Cawangan Jerantut, Jengka dan Temerloh serta Penghulu Mukim Tebing Tinggi termasuk lima Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK).

Asmadi menambah, menerusi program berkenaan golongan asnaf berpeluang memohon pelbagai bantuan, pegawai MUIP akan membuat penilaian sebelum sebarang keputusan dibuat. – MOHD IMRAN IZZAD