MUIP sedia bantuan Ihya Ramadan kepada tiga masjid IPT

MUIP sedia bantuan Ihya Ramadan kepada tiga masjid IPT

KUANTAN: Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) mengagihkan bantuan Ihya Ramadan RM300,000 kepada tiga masjid universiti di negeri ini.

Tiga pusat pengajian tinggi terbabit ialah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan, Universiti Islam Pahang Sultan Haji Ahmad Shah (UniPSAS) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, setiap universiti menerima RM100,000 untuk digunakan bagi aktiviti mengimarahkan sepanjang Ramadan bulan depan.

Menurutnya, selain program berbuka puasa dan bersahur bantuan berkenaan dapat digunakan untuk aktiviti keagamaan.

“Bantuan kewangan yang diberikan itu diharapkan dapat meringankan beban pengurusan tiga masjid terbabit menyediakan makanan sepanjang Ramadan kali ini,” katanya.

Asmadi berkata, MUIP sebelum ini turut menyediakan bantuan keperluan asas di bawah program dapur zakat kepada masjid di negeri ini untuk diagihkan kepada golongan memerlukan di kawasan kampung dan taman perumahan. – MOHD IMRAN IZZAD