MUIP sedia bantuan RM9 juta buat mangsa bah

MUIP sedia bantuan RM9 juta buat mangsa bah

KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyediakan peruntukan kira-kira RM9 juta di bawah program Agihan Prihatin Zakat (APZ) untuk mangsa banjir. 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, bantuan itu bagi meringankan beban mangsa banjir yang terjejas selepas kehilangan banyak harta benda dalam sekelip mata.

Menurutnya, bantuan RM500 kepada setiap ketua isi rumah (KIR) akan diberikan selepas pihaknya selesai menerima semua permohonan daripada mangsa banjir seluruh negeri.

“Permohonan APZ mangsa banjir Pahang 2021 dibuat menggunakan borang yang disediakan MUIP, pengesahan daripada penghulu atau ketua kampung diperlukan.

“Antara syarat permohonan ialah beragama Islam, warganegara Malaysia, kejadian banjir di Pahang, berumur 21 tahun keatas dan bermastautin di Pahang,” katanya, dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, untuk permohonan dan maklumat lanjut mereka yang terbabit boleh layari

easnaf.muip.gov.my atau WhatsApp ke 011-3016 3883 WhatsApp manakala tarikh tutup permohonan pada 15 Februari. – MOHD IMRAN IZZAD.