Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Pic Mohd Imran Izzad
PEKAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) memperuntukkan kira-kira RM10 juta untuk membantu golongan memerlukan termasuk sumbangan Ihya Ramadan.
Ketua Pegawai Eksekutif Muip, Dato’ Ahmad Hairi Hussain berkata, daripada jumlah itu, RM4.6 juta disediakan untuk bantuan menyambut hari raya kepada 11,151 penerima dalam kalangan fakir dan miskin.
Menurutnya, RM1.8 juta disediakan untuk bantuan sama kepada 10,501 golongan mualaf di negeri ini.
“Bagi sumbangan Ihya Ramadan masjid kali ini MUIP menyediakan peruntukan keseluruhan RM3.5 juta untuk diagihkan kepada masjid dan surau seluruh negeri dengan jumlah sumbangan mengikut kategori.
“RM50,000 akan disumbangkan kepada Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, RM260,000 kepada 26 masjid daerah, RM2.7 juta untuk diagihkan kepada 553 masjid kariah dan RM430,000 kepada 86 surau Jumaat,” katanya di sini, semalam.
Ahmad Hairi berkata, tahun lalu, MUIP memperuntukkan sebanyak RM6.6 juta untuk bantuan menyambut hari raya kepada fakir miskin dan mualaf membabitkan seramai 34,115 penerima.
“Ramadan tahun lalu ketika negara di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tiada peruntukan disediakan untuk sumbangan Ihya Ramadan masjid.
“Namun pada 2019 sebanyak RM3.3 juta disediakan bagi tujuan itu membabitkan sebanyak 632 masjid dan surau di seluruh negeri,” katanya.
Katanya, MUIP menasihatkan kepada jawatankuasa masjid dan surau supaya sentiasa mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan MUIP sepanjang Ramadan bagi mengelak berlaku penularan wabak COVID-19.