MUIP sedia RM170.9 juta untuk asnaf

MUIP sedia RM170.9 juta untuk asnaf

KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) sudah mengagihkan bantuan zakat lebih RM170.9 juta kepada lapan asnaf dalam bentuk kewangan dan barangan keperluan, sehingga Disember 2021. 

Bantuan lain turut diberikan ialah membina dan membaiki rumah serta penganjuran pelbagai program keagamaan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, bantuan tertinggi diberikan MUIP sepanjang tahun lalu adalah membabitkan fisabilillah (jalan Allah) lebih RM67.1 juta diikuti golongan fakir dan miskin lebih RM76.4 juta.

Menurutnya, individu yang dilantik sebagai amil turut menerima bantuan lebih RM16.3 juta, lebih RM10.3 juta diagihkan kepada golongan fakir seterusnya mualaf (RM5.6 juta).

Katanya, tidak ketinggalan lebih RM5.2 juta disediakan kepada golongan gharimin atau individu yang mempunyai hutang, bantuan untuk Riqab (RM363,580) dan Ibnu Sabil (RM361,310).

“Kita sentiasa berusaha untuk menyediakan apa juga bentuk bantuan yang diperlukan golongan asnaf di negeri ini, namun disebabkan tidak mempunyai maklumat menyebabkan bantuan tidak dapat disediakan kepada mereka.

“Kerjasama masyarakat setempat termasuk ketua kampung dan penghulu amat diperlukan untuk memberi maklumat mereka yang memerlukan bantuan,” katanya, dihubungi di sini semalam.

 Beliau berkata, tahun lalu pihaknya menyediakan peruntukan lebih RM40.9 juta untuk program pembangunan pendidikan dan lebih RM7.4 juta untuk program pembangunan masjid, surau dan tanah kubur.

“Perbelanjaan lebih RM1.8 juta digunakan untuk program kesihatan yang membabitkan bantuan mendapatkan rawatan termasuk menyediakan peralatan seperti katil, kerusi roda, anggota palsu dan alat bantuan pernafasan.

“MUIP menyediakan peruntukan lebih RM7.4 juta bagi menjayakan program dakwah dan pengurusan mualaf membabitkan bayaran sagu hati dan bantuan bulanan dalam tempoh tertentu,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD.