KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) memperuntukkan RM5.7 juta bagi pembangunan golongan saudara baharu di negeri ini sepanjang 10 bulan tahun ini.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, bantuan itu membabitkan pemberian wang saguhati pengislaman dan bantuan tahunan kepada mualaf.
Menurutnya, turut disediakan bayaran elaun kepada imam, siak dan bilal di kalangan Orang Asli yang menguruskan surau dan masjid di kawasan penempatan mereka.
“Kita turut menyediakan bantuan untuk baik pulih dan bina surau baharu di kampung Orang Asli termasuk mengadakan kursus agama, seminar, forum dan lawatan keagamaan.
“Peruntukan yang besar disediakan membuktikan MUIP tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap saudara baharu,” katanya pada Majlis Penyerahan Cek Sumbangan Bagi Menjalankan Aktiviti Dakwah Perkim Bahagian Negeri Pahang, di sini semalam.
Beliau berkata, bantuan kewangan untuk saudara baharu setiap tahun sentiasa bertambah dalam memastikan semua aktiviti yang dirancang dapat berjalan lancar.. – MOHD IMRAN IZZAD