KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) membelanjakan lebih RM5.8 juta tahun ini bagi membantu pesakit daripada golongan asnaf mendapatkan rawatan dialisis secara percuma.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata bantuan rawatan berkenaan bertambah RM1.8 juta berbanding tahun lalu.
Menurutnya, kini terdapat 140 individu yang mengalami masalah buah pinggang menerima yang memerlukan rawatan tiga kali seminggu.
Katanya, MUIP kini mempunyai tiga pusat dialisis di Cenderawasih, Gambang dan di Jengka, Maran, yang mempunyai 48 mesin dialisis serta beroperasi enam hari seminggu.
“MUIP perlu menyediakan perbelanjaan RM3,600 sebulan bagi setiap pesakit yang menerima rawatan,” katanya selepas melakukan lawatan ke Pusat Dialilsis MUIP Cenderawasih, di sini, semalam.
Hadir sama Ketua Unit Perniagaan Dialisis MUIP Holdings Sdn Bhd, Fadzlilawati Mohamad Fathil. – MOHD IMRAN IZZAD