MUIP sedia RM5 juta untuk program dapur zakat

MUIP sedia RM5 juta untuk program dapur zakat

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

KUANTAN:  Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) memperuntukkan kira-kira RM5 juta bagi menjayakan program dapur zakat membabit 663 masjid dan surau di Pahang. 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata program yang mula diperkenalkan Jun lalu membabitkan bantuan kewangan RM1,000 kepada masjid dan surau yang dibenarkan mendirikan solat Jumaat.

KUANTAN .Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman (kanan) menunjau barangan keperluan asas dapur zakat disediakan MUIP di Masjid Ittifaqiah Taman Seri Inderapura (MITSI).

Menurutnya, bantuan kewangan berkenaan digunakan oleh jawatankuasa masjid dan surau terbabit untuk menyediakan bantuan keperluan asas untuk disumbangkan kepada masyarakat  setempat yang terkesan dengan pelaksanaan PKP 3.0.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya bantuan RM1,000 tidak mencukupi jawatankuasa masjid dan surau terbabit boleh membuat permohonan tambahan. 

“Sambutan terhadap bantuan program dapur zakat begitu menggalakan terutama di beberapa masjid dan surau terletak di dalam dan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau bekalan barangan keperluan asas program dapur zakat yang disediakan oleh Masjid Ittifaqiah Taman Seri Inderapura (MITSI), di sini semalam.

Menurutnya, jawatankuasa masjid dan surau serta ketua kampung perlu menghebahkan bantuan yang disediakan MUIP kepada penduduk setempat.

“Bagi penduduk bukan Islam yang memerlukan bantuan, pihak masjid dan surau boleh menggunakan infaq tabung masjid untuk menyediakan keperluan diperlukan,” katanya.