MUIP sedia RM6.9 juta bantuan awal persekolahan

MUIP sedia RM6.9 juta bantuan awal persekolahan

KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyediakan lebih RM6.9 juta wang zakat sebagai bantuan awal persekolahan khusus untuk golongan asnaf. 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, permohonan bantuan itu boleh dibuat di easnaf.muip.gov.my sehingga 15 Mac ini.

Menurutnya, pemohon mestilah di kalangan asnaf fakir miskin di negeri ini yang berdaftar sebagai penerima bantuan bulanan dan tahunan sahaja, termasuk mualaf.

“Setiap pemohon layak menerima bantuan RM150 bagi murid sekolah rendah dan RM200 untuk sekolah menengah. Sekurang-kurangnya 34,924 individu layak menerima bantuan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Khatan Perdana ‘Sunaton’ 2022 di Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI), Chendering, di sini. – MOHD IMRAN IZZAD