MUIP serah alat perubatan kepada HTAA

MUIP serah alat perubatan kepada HTAA

KUANTAN:  Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyumbang peralatan perubatan termasuk dua unit mesin hemodialisis bernilai lebih RM238,560 kepada Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

Bantuan peralatan perubatan lain turut diberikan termasuk transurethral resection (TUR), defibrillator, mesin sinar-x mudah alih dan electrocautery.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, MUIP menyediakan peruntukan khas bagi membantu hospital dan klinik kesihatan di Pahang, setiap tahun. 

“Kita tidak mempunyai kepakaran dalam bidang perubatan. Justeru, setiap cadangan yang dikemukakan akan dinilai sebelum diluluskan,” katanya pada Majlis Penyerahan Peralatan Perubatan dan Ziarah Prihatin MUIP di HTAA, semalam. Turut sama Pakar Nefrologi Jabatan Nefrologi HTAA, Dr Mohd Kamil Ahmad.

Sempena program berkenaan MUIP turut menyampaikan hamper dan wang tunai bernilai RM94,000 kepada 400 pesakit di hospital berkenaan.

Asmadi berkata, tahun lalu MUIP memberi bantuan peralatan perubatan bernilai RM973,152 kepada hospital dan klinik kesihatan di Pahang sebagai usaha meringankan beban pusat kesihatan terbabit yang memberi perkhidmatan kepada rakyat.