Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
PEKAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyumbang lima puluh unit komputer lengkap dengan aplikasi terkini bernilai RM175,000 kepada Kulliah Al-Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakar, di sini.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, komputer itu adalah untuk kegunaan pelajar yang sedang melanjutkan pengajian di pusat pendidikan Islam itu.
Menurutnya, Kulliah Al-Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakar adalah antara pusat pendidikan terkenal dan tertua di Pahang, yang sudah melahirkan ramai golongan pendakwah dan guru agama terkenal.
“Komputer yang diberikan khusus untuk kegunaan pelajar di peringkat Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) selain pelajar Program Tahfiz Bestari dan program kelas Bahasa Arab.
“Ia juga untuk kegunaan pelajar yang mengikuti program persediaan sebelum melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir, dan beberapa universiti di negara Timur Tengah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Replika Cek Bantuan 50 Unit Komputer Bernilai RM175,000 kepada Kulliah Al-Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakar, di sini, semalam.
Hadir sama Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Zulkifle Ali dan Pengetua Kulliah Al-Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakar, Lebai Idris Ali.