MUIP sumbang RM300,000 untuk naik taraf surau SMART

MUIP sumbang RM300,000 untuk naik taraf surau SMART

KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyuntik sumbangan kira-kira RM300,000 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib (SMART) bagi menaik taraf surau sekolah berkenaan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, pihaknya membantu menampung sebahagian kos perbelanjaan yang diperlukan pihak sekolah.

“Bantuan yang diberikan diharap dapat melancarkan lagi projek menaik taraf surau sekolah untuk mampu menampung keperluan kira-kira 700 pelajarnya,” katanya selepas meninjau projek terbabit, di sini, hari ini.

Pengetua SMART, Maznah Ariffin berkata sekolah itu memerlukan kira-kira RM700,000 untuk menaik taraf surau.

“Saya mengucapkan terima kasih pada MUIP yang tampil menyumbang bagi menampung kos menaik taraf surau sekolah,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD