PEKAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyalurkan sumbangan zakat berjumlah RM88,000 kepada Universiti Malaysia Pahang (UMP).
Daripada jumlah itu, RM50,000 diserahkan kepada Pusat Islam UMP bagi geran program keagamaan manakala RM38,000 untuk kajian penyelidikan universiti berkenaan.
MUIP menerusi Facebook memaklumkan sumbangan yang diluluskan adalah berdasarkan permohonan yang bertujuan menganjurkan program keagamaan oleh Pusat Islam UMP.
Selain itu, geran bagi membuat kajian terkini Had Al-Kifayah juga sudah diluluskan untuk tujuan pengurusan zakat khususnya di Pahang.
Penyerahan sumbangan itu disampaikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MUIP (Sektor Baitulmal dan Operasi), Dr Asmadi Abdul Rahman kepada Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan UMP, Prof Madya Dr Rashidi Abbas dan Pensyarah Kanan UMP, Prof Madya Dr Hassan Ahmad. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN