MUIP suntik RM11.8 juta bantu anak Pahang timba ilmu

MUIP suntik RM11.8 juta bantu anak Pahang timba ilmu

KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) mengagihkan RM11.8 juta dermasiswa kepada 13,548 penuntut anak Pahang yang berjaya melanjutkan pengajian ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) tempatan dan luar negara, tahun ini. 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, penuntut yang diterima melanjutkan pengajian perlu membuat permohonan terlebih dahulu.

“Dermasiswa turut membabitkan bantuan awal kemasukan ke IPT bagi meringankan beban keluarga penuntut. Semua dermasiswa adalah pengajian di peringkat diploma sehinggalah PhD,” katanya, di sini, semalam.

Menurutnya, penuntut yang menyambung pengajian di IPT tempatan layak menerima antara RM500 hingga RM3,000

Asmadi berkata, mereka yang menyambung pengajian di Mesir, Jordan, Maghribi, Yaman, Syria, Afrika dan Indonesia layak menerima antara RM1,200 hingga RM6,000.

Menurutnya, pelajar yang menyambung pengajian dalam bidang perubatan di Mesir menerima RM3,000 hingga RM6,000 berbanding universiti lain menerima RM1,200 hingga RM3,000. 

“Jumlah teramai menerima biasiswa tahun ini ialah pada Mac membabitkan 3, 537 penuntut diikuti April (3,156), Februari (2,131), Jun (1,717) dan Mei (1,494).

“MUIP akan terus menyediakan bantuan kepada penuntut anak Pahang dalam usaha meringankan beban keluarga mereka,” katanya.  MOHD IMRAN IZZAD