MUIP suntik RM72,000 bantu penuntut Petama

MUIP suntik RM72,000 bantu penuntut Petama

KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) mengagihkan derma siswa kepada 30 penuntut Program Pembangunan Tamadun Masyarakat Asli (Petama).

Bantuan RM72,000 itu diberi untuk kegunaan penuntut sepanjang pengajian mereka di institut pendidikan Islam milik Yayasan Pahang.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata derma siswa berkenaan diharap dapat meringankan beban penuntut Petama yang terdiri daripada remaja masyarakat Orang Asli di negeri ini.

Menurutnya, MUIP ingin melihat bantuan yang diberikan dapat menambahkan lagi semangat penuntut untuk terus belajar seterusnya apabila tamat pengajian menjadi pendakwah di kampung mereka.

“Selain derma siswa, MUIP turut menyediakan wang saku dan baju raya kepada penuntut Petama setiap kali menjelang Aidilfitri,” katanya pada Majlis Penyerahan Bantuan Derma Siswa Kepada Penuntut Petama, di sini, semalam.

Hadir sama Pengurus Petama, Razi Musa @ Ahmad. – MOHD IMRAN IZZAD