Mujur kereta tak hanyut

Mujur kereta tak hanyut

JERANTUT: Tiga lelaki tergamam dan cemas apabila kenderaan mereka yang diletakkan di atas pasir di pinggir sungai Tembeling di Kampung Kuala Sat, Ulu Tembeling, hampir dihanyutkan air. 

Pemandu bot pelancong kampung Kuala Sat, Johari Awang Teh, 45  berkata dia membawa tiga kaki pancing dari ibu negara ke kawasan hulu sungai Kuala Sat untuk memancing, sejak kelmarin.

“Pada hari pertama kami sampai cuaca agak baik dan tiada hujan. Tapi, hujan pula sejak semalam. Air sungai Kuala Sat mula naik. 

“Oleh itu, mereka mengambil keputusan untuk pulang awal bagi menggelak tersangkut jika berlaku banjir, ” katanya. 

Menurutnya, mereka agak terkejut apabila melihat kereta yang diletakkan di kawasan berpasir dekat rumah rakit ditenggelami air sehingga paras tayar.

“Kami bergegas menahan kereta itu supaya tidak hanyut. Kira-kira 20 orang kampung turut membantu menarik kereta itu menggunakan tali sehinggalah dapat ditolak semula ke atas jalan,” katanya. – MUHAMMAD NAJMIE