Mungkin berbelanja di saat akhir, kata peniaga bazar Aidilfitri 

Mungkin berbelanja di saat akhir, kata peniaga bazar Aidilfitri 

KUANTAN: Peniaga Bazar Aidilfitri di daerah ini mendakwa jualan pelbagai kelengkapan raya agak perlahan.

Peniaga pakaian, Zarina Jais, 57, berkata, jualan kali ini agak merosot apabila pengguna seolah-olah tidak berminat untuk berbelanja. 

“Pengguna ramai datang ke bazar tetapi mereka tidak berbelanja. Mereka hanya berjalan sambil meninjau dari segi harga pakaian. 

“Pada Aidilfitri sebelum ini, pengguna datang melihat pakaian dan terus membeli,” katanya ditemui di Bazar Aidilfitri Stadium di perkarangan Stadium Darul Makmur, di sini.

Tinjauan di Bazar Aidilfitri Stadium dan Bazar Aidilfitri Dataran Sekilau mendapati pelbagai kelengkapan raya seperti baju kurung, baju Melayu, tudung, songkok dan tanjak dijual namun kehadiran pengguna kurang menggalakan.

Peniaga tudung, Norlida Abdullah, 46, berkata, selalunya pengguna membuat persiapan awal bagi menyambut lebaran.

“Namun, kali ini ia berlaku sebaliknya apabila pengguna hanya ramai pada hujung minggu dan cuti umum sahaja.

“Saya yakin kebanyakan pengguna menunggu saat akhir untuk membeli kelengkapan menyambut Aidilfitri,” katanya yang sudah 10 tahun berniaga tudung. – MOHD IMRAN IZZAD