Murid tahun satu di Jenderak dan Kerdau pulok dapat bantuan kerajaan negeri

Murid tahun satu di Jenderak dan Kerdau pulok dapat bantuan kerajaan negeri

TEMERLOH: Seramai 575 murid tahun satu dari 23 sekolah rendah di dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini menerima Bantuan Awal Persekolahan merangkumi jumlah keseluruhan sebanyak RM57,500.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata bantuan itu membabitkan jumlah sebanyak RM27,300 bagi 273 murid di sembilan sekolah di DUN Jenderak dan RM30,200 untuk 302 murid di DUN Kerdau.

ADUN  Jenderak yang juga Timbalan Speaker DUN Pahang, Dato’ Sri Mohammad Jaafar menyerahkan sumbangan Bantuan Awal Persekolahan  bagi kawasan DUN Jenderak

“Tahniah kepada ibu bapa dan anak-anak darjah satu DUN Kerdau dan Jenderak yang menerima bantuan ini menerusi idea cetusan YAB Dato’ Sri Utama Wan Rosdy Wan Ismail.

“Terima Kasih juga Pejabat Tanah dan Daerah Temerloh, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Temerloh, Penerangan Daerah Temerloh dan guru-guru besar serta ibu bapa yang telah memberi kerjasama yang terbaik hari ini. Semoga semuanya diberkati Allah SWT,” katanya pada majlis pengagihan Bantuan Awal Persekolahan di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri I merangkap Ahli Parlimen Kuala Krau, Dato’ Sri Dr Ismail Mohd Said dan Ahli DUN (ADUN) Jenderak yang juga Timbalan Speaker DUN Pahang, Dato’ Sri Mohammad Jaafar.

Sekolah yang terbabit bagi DUN Jenderak ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Jenderak seramai 14 penerima, SK Kuala Krau (44), SK Paya Luas (15), SK Kuala Mai (47), SK Jenderak Utara (33), SK Penderas (64), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kuala Krau (15), SK Jenderak Selatan (33) dan SJK Tamil (SJKT) Ladang Tekal (lapan).

Bagi DUN Kerdau pula, SK Batu Sawar (tujuh), SK Gunung Senyum (20), SK Jengka 23 (35), SK Kerdau (35), SK Kuala Tekal (19), SK Lipat Kajang (enam), SK Paya Taram (24), SK Pulau Pasir Mandi (lapan), SJKC Kerdau (lapan), SJKT Ladang Beeyong (tiga), SK Paya Ara (38), SK Jengka 25 (18), SK Jengka 22 (38) dan SK Telok Sentang (43). – HELMY ABD RAHMAN