Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Pic Mohd Imran Izzad
RAUB: Pejabat Pembangunan Hutan Pahang Barat menanam 2,000 pokok hutan pelbagai spesies di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam yang sebelum ini dijadikan kebun durian Musang King ‘haram’.
Secara keseluruhannya, kawasan ceroboh seluas 101 hektar itu akan ditanam kira-kira 20,000 pokok hutan selepas kerja menebang 15,000 pokok durian Musang King selesai minggu lalu.

Penolong Pengarah Pejabat Pembangunan Hutan Pahang Barat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Wan Ghazali Wan Ali berkata, dalam masa tiga hari, pihaknya sudah menanam kira-kira 2,000 pokok daripada jenis Merawan, Meranti, Balau, Keruing dan beberapa spesies lain.
“Kita jangkakan dapat menanam lebih 5,000 pokok dalam masa seminggu dengan lebih 100 kakitangan JPNP terbabit dengan aktiviti menanam yang dibahagikan kepada beberapa kumpulan,” katanya, hari ini.

Beliau berkata, tanah berbaja dan lembut di kawasan HSK Batu Talam di bekas kebun durian Musang King itu melancarkan lagi kerja menanam walaupun terpaksa memindahkan pokok ke kawasan berbukit.
“Kita menggunakan anak pokok yang terdapat di tapak semaian Pejabat Pembangunan Hutan Pahang Barat Rotan Tunggal, di sini, manakala selebihnya akan diambil di beberapa Pejabat Hutan Daerah (PHD) lain.
“Sebelum kerja menanam pokok hutan dilakukan, pokok durian Musang King yang ditebang perlu dipotong beberapa bahagian terlebih dahulu bagi memudahkan aktiviti menanam selain untuk memastikan pembesaran pokok hutan tidak terjejas,” katanya.
Menurutnya, kakitangan yang bertugas terpaksa memindahkan anak pokok daripada pusat pengumpulan dalam HSK Batu Talam ke kawasan menanam secara berperingkat.
“Bagaimanapun, bentuk muka bumi berbukit menjadi cabaran utama untuk kerja-kerja penanaman. Kita akan berusaha secepat mungkin untuk selesaikan kerja menanam pokok hutan di kawasan terbabit bagi mengelakkan kejadian hakisan dan pencemaran sumber air.
“HSK Batu Talam adalag kawasan tadahan air yang diwartakan pada 2002 dan sekiranya pencemaran berlaku, akan menjejaskan sumber air penduduk daerah ini,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Fikrah Pahang di kawasan itu mendapati kerja-kerja menanam pokok hutan sedang rancak dilakukan kakitangan JPNP.