Muslim, Goulon kembali perkasa benteng Sri Pahang

Muslim, Goulon kembali perkasa benteng Sri Pahang

Muhammad Izz Zahin 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

DUA pemain pertahanan Sri Pahang FC, Muslim Ahmad dan Herold Goulon akan kembali beraksi pada perlawanan menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Darul Makmur, malam esok. 

Ketua jurulatih Sri Pahang FC, Dollah Salleh berkata, kedua-dua pemain itu sudah pulih daripada kecederaan dan penggantungan satu perlawanan. 

Katanya, segalanya diharapkan lebih baik terutama di bahagian pertahanan yang agak goyah ketika skuad Tok Gajah tewas 0-3 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT), Jumaat lalu. 

“Namun, saya tetap terkilan kerana beberapa pemain lain masih lagi belum pulih daripada kecederaan. 

“Mereka ialah Nor Azam Azih, Abdul Malik Mat Ariff, Aung Kaung Mann, Zuhair Aizat Mohd Nazri dan Helmi Eliza Elias manakala Baqiuddin Shamsudin pula digantung satu perlawanan kerana mengutip tiga kad kuning,” katanya di Kuantan, hari ini. 

Di sebalik ketiadaan beberapa pemain utama itu, beliau mengharapkan barisan pemain disenaraikan membantu mencatatkan kemenangan dalam perlawanan akan datang. 

“Walaupun KDA dilihat berada pada prestasi terbaik, saya percaya pemain kita mampu melakukan sesuatu kerana kemenangan akan dapat memperbaiki kedudukan,” katanya.