Muslim, Jadid tidak beraksi di Cheras malam esok

Muslim, Jadid tidak beraksi di Cheras malam esok

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Kapten pasukan, Muslim Ahmad dan Jadid Ilias tiada dalam senarai pemain Sri Pahang FC apabila berdepan Kuala Lumpur City FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam esok.

  Ketua jurulatih pasukan, Dollah Salleh berkata, kedua-dua pemain pertahanan itu tidak disenaraikan kerana menjalani penggantungan satu perlawanan.

Kapten Sri Pahang FC, Muslim Ahmad (kiri) tidak beraksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam esok.

  Katanya, ketiadaan kedua-dua pemain berkenaan pasti mengganggu perancangan pasukan itu terutama di bahagian pertahanan dalam usaha menyekat tuan rumah daripada membolosi gawang pasukan.

  “Bagaimanapun, saya percaya pemain yang akan menggantikan posisi kedua-dua pemain itu dapat menjalankan tanggungjawab mereka terutama mengekalkan fokus sepanjang tempoh 90 minit perlawanan.

  “Pemain yang disenaraikan dalam kesebelasan esok, diharap tidak mempersia-siakan peluang yang ada selain mengelak daripada melakukan kesilapan,” katanya.

  Di sebalik ketiadaan Muslim dan Jadid, Dollah mengesahkan pemain import, Herold Goulon akan disenaraikan pada perlawanan menentang Kuala Lumpur City.

  Katanya, Goulon hanya digantung satu perlawanan ketika pasukan itu seri 1-1 dengan Terengganu FC (TFC) Selasa lalu.

  “Apa yang boleh saya katakan setakat ini hanya Muslim dan Jadid tidak dapat bermain,” katanya.

  Berdasarkan kedudukan dalam saingan Liga Super selepas tujuh perlawanan, Sri Pahang berada di kedudukan kesembilan dengan mengutip lima mata.