SRI Pahang FC (SPFC) mengesahkan Muslim Ahmad yang juga bekas kapten pasukan itu kembali bersama Sri Pahang FC musim 2022 menerusi laman Facebook rasmi Sri Pahang FC, hari ini.
Pada awalnya, Muslim adalah antara 14 pemain diketepikan daripada skuad Tok Gajah selepas berakhir musim 2021.
Namun, pemain berusia 33 tahun itu menandatangani kontrak bersama Sri Pahang yang menyaksikan Muslim kekal menyarung jersi kelab itu bagi musim keenam.
“Selamat kembali ke Sri Pahang, Muslim!,” kata satu kenyataan Sri Pahang di Facebook.
Pada 4 Disember lalu, skuad Tok Gajah membuat rombakan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2022 apabila melepaskan 14 pemainnya musim lalu termasuk lima tenaga import. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN