Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KAPTEN Sri Pahang FC, Muslim Ahmad dan rakan sepasukan berazam mempamerkan prestasi terbaik pada baki lima perlawanan saingan Liga Super musim ini.
Beliau berkata, aksi terbaik itu perlu untuk memastikan skuad Tok Gajah tidak terjerumus ke zon penyingkiran liga berkenaan.
Sehingga ini, katanya, segalanya berjalan mengikut latihan yang diberikan ketua jurulatih, Dollah Salleh.
“Apa yang perlu kami lakukan sekarang adalah untuk meningkatkan prestasi dan mencatatkan kemenangan pada setiap perlawanan.
“Dengan kemenangan sahaja akan membantu memperbaiki kedudukan lebih baik sekali gus mengelak berada di dua kedudukan tercorot liga,” katanya.
Muslim yang beraksi di posisi pertahanan percaya tempoh dua minggu tanpa perlawanan dimanfaatkan sebaiknya dalam membentuk persefahaman lebih mantap.
“Saya gembira dengan komitmen daripada rakan sepasukan yang begitu komited sepanjang latihan.
“Segalanya berada pada tahap terbaik dan mengharapkan lima perlawanan yang bakal dihadapi akan berpihak kepada Sri Pahang,” katanya.
Selepas mengharungi 17 perlawanan, Sri Pahang berada di kedudukan kesembilan dengan 17 mata.
Kedudukan skuad Tok Gajah belum lagi selamat ketika Melaka United yang mengutip 16 mata serta Perak FC (13 mata) dan UiTM FC (lima mata) turut mahu memperbaiki kedudukan.