Muzium berperanan sebagai cerminan peristiwa dan instrumen kemajuan bangsa

Muzium berperanan sebagai cerminan peristiwa dan instrumen kemajuan bangsa

Oleh Husin Ibrahim

KUANTAN: Peranan muzium bukan sahaja sebagai medium perubahan dan pembangunan, malah menjadi cerminan peristiwa dan instrumen dalam mencapai kemajuan bangsa dan negara. 

   Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan,  Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, sebagai institusi yang kritikal kepada masyarakat, muzium perlu giat berusaha menggalakkan, mempromosi dan memupuk cita-cita terbaik sesebuah bangsa dan negara. 

   Beliau yang juga Pengerusi  Perbadanan Muzium Negeri Pahang berkata, peranan muzium mencakupi segala hal yang berkaitan dengan kehidupan manusia sama ada membabitkan sejarah, budaya mahupun isu-isu semasa. 

   “Muzium sebagai satu institusi yang bersifat terbuka dan tidak berorientasikan keuntungan dilihat sebagai satu platform yang sesuai digunakan untuk berbincang, berdebat dan menyampaikan ilmu mengenai apa jua perkara dalam suasana yang berbeza tetapi selesa, tanpa bias, tanpa mengira warna kulit mahupun latar belakang kehidupan. 

   “Oleh itu tepat sekali kalau Muzium Negeri Pahang mengambil tanggungjawab untuk menubuhkan Pusat Kajian Sejarah dan Tamadun Pahang Al-Sultan Abdullah, ” katanya dalam ucapan pada majlis taklimat cadangan menandatangani penubuhan Pusat Kajian Sejarah dan Tamadun Pahang Al-Sultan Abdullah, di Khutub Khanah Diraja, di sini, hari ini.

 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan mencemar duli mendengar taklimat berkenaan.

  Turut berangkat, Paduka Anakanda-Anakanda Tuanku, Tengku Panglima Raja Leftenan Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah,  Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah. 

   Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak dan Pengurus Besar Perbadanan Muzium Negeri Pahang, Dato’ Ahmad Farid Abd Jalal.

   Mohd Sharkar berkata,

muzium juga memainkan peranan penting dalam memperoleh, memulihara, menjalankan kajian, pusat komunikasi dan mempamerkan warisan ketara serta tidak ketara untuk tatapan ramai dengan tujuan pendidikan dan pembelajaran.