Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) secara tidak langsung berjaya ‘menyekat’ nafsu makan orang ramai di negeri ini apabila jumlah kutipan sisa domestik tidak berubah sepanjang Ramadan tahun ini.
Pengarah Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang, berkata, kebiasaannya sisa domestik ini akan meningkat antara 20 hingga 30 peratus setiap kali musim perayaan terutama Ramadan, namun tahun ini, pihaknya memungut sebanyak 1,200 tan sisa domestik sehari di seluruh Pahang, sama seperti hari-jari biasa atau penurunan sekitar 10 peratus berbanding tahun lalu.
“Kebiasaannya, kita menjangkakan sisa domestik ini akan meningkat antara 20 hingga 30 peratus setiap kali musim perayaan, contohnya tahun lalu sebanyak 1,560 tan metrik sisa domestik dikutip dalam sehari.
“Kebanyakan sisa domestik terutama di bulan Ramadan membabitkan sisa makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Berbuka Puasa Syarikat Konsesi Alam Flora Sdn Bhd Bersama Media di sini, malam tadi.
Menurutnya, pihaknya sendiri terkejut dengan data yang diperoleh, namun pada masa sama beranggapan masyarakat semakin celik dan sedar untuk tidak membazir dengan membeli makanan yang diperlukan sahaja.
“Pengurangan tahun ini juga disebabkan SOP (prosedur operasi standard) aktiviti jual beli di bazar Ramadan dihadkan oleh kerajaan negeri Pahang dalam tempoh PKPP, contohnya dulu 100 gerai dibenarkan tapi sekarang cuma 50 pada satu-satu masa,” katanya.
Dalam perkembangan berbeza, beliau berkata, pihaknya mengeluarkan syarat supaya penganjur bazar melantik kontraktor yang dilesenkan sahaja bagi menjalankan kerja-kerja kutipan sisa domestik di bazar Ramadan.
“Ini bagi memudahkan kita menjalankan pemantauan berhubung penjanaan sisa domestik dari semasa ke semasa di semua bazar Ramadan di seluruh negeri ini,” katanya.