Najib akan lahirkan lebih ramai Najib

Najib akan lahirkan lebih ramai Najib

BENTONG: “Najib (Dato’ Sri Najib Razak) akan lahirkan lebih ramai Najib,” kata Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bentong, Dato’ Amizar Abu Adam.

Beliau berkata, walaupun bekas Perdana Menteri itu tidak lagi berpeluang mengemas kini dan menyalurkan pelbagai fakta serta idea bernas di laman Facebook rasminya selepas dihukum penjara 12 tahun, akan muncul ramai pengganti yang mampu menggalas tugas berkenaan.  

“Pasti ramai yang meridui hujah dan fakta disalurkan Dato’ Sri Najib di Facebook yang sering menjadi ‘mimpi ngeri’ terutama buat Pakatan Harapan (PH).

“Tapi saya percaya akan ada lebih ramai lagi Najib mungkin 10, 20 atau 50 orang yang menggantikannya dan sekarang ini pun sudah ada yang menggalas tugas itu dengan cemerlang,” katanya kepada Fikrah Pahang, semalam.

Beliau berkata, penyokong Najib juga tidak harus terlalu lama ‘hanyut’ dalam kesedihan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan ke atas Najib berhubung penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd, 23 Ogos lalu.

“Sedih itu pasti, tapi jangan lama sangat bersedih, sebaliknya menjadikan kesedihan ini sebagai pemangkin semangat untuk berjuang lebih kuat untuk memenangkan BN pada PRU-15 (Pilihan Raya Umum ke-15) ini.  

“Kita juga bukan mengagungkan beliau tetapi amat menghormati cara pemikiran dan cara dia membawa negara,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN