Nak balik kampung pun payah kalau tak vaksin

Nak balik kampung pun payah kalau tak vaksin

Oleh Husin Ibrahim

fikrahpahang@gmail.com 

BERA: Walaupun bukan berbentuk paksaan, individu yang menerima suntikan vaksin lengkap lebih mudah untuk berurusan dalam kehidupan seharian mereka.

YAB Perdana Menteri, Dato Sri Ismail Sabri Yaakob, berkata boleh dikatakan semua awam seperti di masjid dan pusat beli-belah hanya membenarkan individu yang sudah menerima vaksin lengkap mengunjunginya.

“Kalau mereka masih belum lengkap dua dos vaksin, mereka tidak boleh balik kampung atau melancong atau ke masjid sekalipun. 

“Apatah lagi, kepada individu yang enggan menerima suntikan,” kata Ismail Sabri selepas menyaksikan upacara pemakaian pangkat oleh Ketua Polis Negara, Dato’ Sri Acryl Sani Abdullah Sani kepada anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera.

Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Sri Dr Ismail Mohamad Said.

“Individu yang menerima vaksin yang lengkap lebih selesa untuk bergaul dengan orang ramai. Bukankah hal ini menyusahkan mereka sendiri walaupun tiada paksaan untuk divaksin?,” kata Ismail Sabri.

Selain itu, katanya, Kerajaan Arab Saudi turut menetapkan syarat vaksin penuh jika rakyat Malaysia ingin menunaikan ibadah umrah dan haji.