Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Gambar hiasan
KUANTAN: Seorang suri rumah berputih mata selepas semua wang simpanannya berjumlah RM45,000 lebur akibat diperdaya pelaburan bitcoin yang tidak wujud, minggu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, dalam kejadian 26 Julai lalu itu, mangsa berusia 56 tahun dikatakan berminat untuk menggandakan wang simpanannya selepas melihat satu iklan dan terus membuat pendaftaran dengan sebuah syarikat pengiklan berkenaan bagi tujuan pelaburan.
Menurutnya, mangsa kemudian menerima panggilan daripada seorang lelaki bernama David Kaminsky memaklumkan wang pelaburan akan digandakan ratusan ribu ringgit jika dia berminat untuk melabur.
“Pada 27 Julai, jam 4.32 petang, mangsa telah membuat pemindahkan wang sebanyak RM30,000 seperti diarahkan suspek.
“Keesokan harinya iaitu pada jam 3.26 petang, mangsa memasukkan lagi wang sebanyak RM15,000 bagi tujuan sama,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, Isnin lalu, mangsa sekali lagi menerima panggilan daripada lelaki berkenaan yang memintanya memasukkan sebanyak RM50,000 kononnya bagi tujuan bayaran cukai keuntungan.
Jelasnya, suspek mendakwa mangsa akan memperoleh keuntungan pelaburan RM480,000, seandainya mangsa memasukkan wang seperti diminta.
“Mangsa bagaimanapun tidak mengendahkan permintaan itu dan mula mensyaki dirinya ditipu, lalu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan petang semalam.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan kesalahan ini memperuntukkan hukuman penjara selama tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun selain sebatan dan denda,” katanya.