KUANTAN: Kelewatan melahirkan cahaya mata keempat daripada tarikh dijangkakan ternyata memberi hikmah kepada Noor Hidayah Mohamad Rodi, 35, dari Kem Batu 10 di sini.
Katanya, dia dijadualkan bersalin seminggu lalu namun kelewatan itu membolehkankannya mendapat bayi tahun baru.
“Tak sangka langsung akan dapat bayi tahun baru kerana sepatutnya, minggu lalu, tapi lewat pula seminggu daripada tarikh yang dijangkakan doktor.
“Apapun, saya bersyukur kerana segalanya berjalan lancar secara normal sejak mula memgandung sehinggalah melahirkan,” katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.
Noor Hidayah yang bertugas sebagai jururawat di Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT) Kem Batu 10, melahirkan bayi lelaki seberat 3.8 Kilogram jam 1.05 pagi tadi dan antara empat ibu yang diraikan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) selepas melahirkan anak pada tanggal 1 Januari 2023 di HTAA, hari ini.
Sementara itu, Pengarah JKNP Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, sehingga jam 9 pagi tadi, seramai enam bayi dilahirkan di negeri ini iaitu empat di HTAA dan dua di Hospital Haji Ahmad Shah, Temerloh.
Menurutnya, kelahiran pertama dicatatkan pada jam 12.53 pagi di HTAA iaitu seorang bayi lelaki dari pasangan dari Felda Lepar Hilir 1 dilahirkan dengan berat 3.9 kilogram (kg) melalui kaedah pembedahan.
“Usia ibu yang bersalin pula antara 25 hingga 35 tahun dan berat bayi yang dilahirkan antara 3kg hingga 3.9kg. Untuk rekod, seramai 16 bayi dilahirkan di Pahang pada 1 Januari 2022,” katanya kepada media selepas melawat wad bersalin HTAA dan meraikam ibu dan bayi tahun baru, di sini, hari ini. – FATH AHNAF