KUANTAN: Kira-kira seratus individu di Pahang dijangka menyertai kursus Malim Gunung Perhutanan Siri Tiga 2022, pada September depan.
Antara peserta yang akan menyertai kursus berkenaan ialah Aziatul Umi Syakila Subaini, 28 yang sebelum ini terbabit dengan aktiviti pendakian dan menjelajah beberapa hutan simpan di Pahang.
“Saya dah mendaftar dan diharap permohonan diterima penganjur. Sebagai individu yang terbabit dengan sektor pelancongan di hutan, saya memerlukan pelbagai kemahiran seperti pertolongan cemas, membaca kompas dan mengenali tumbuhan,” katanya, di sini, hari ini.
Dia yang juga ahli Persatuan Malim gunung Raub (PMGR) berkata, ramai rakannya sudah menyertai kursus Malim Gunung Siri Dua di Janda Baik, Bentong, bulan lalu.
Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan (Hutan Lipur) JPNP, Regina Mariah Jong, berkata mereka yang berminat untuk kursus Malim Gunung Perhutanan Siri Tiga 2022 boleh mengisi borang secara dalam talian untuk tujuan pemilihan.
“Antara syarat permohonan ialah anak jati Pahang, berumur 18-60 tahun, sihat dan berpengalaman tiga tahhun dalam aktiviti pendakian. Tarikh tutup 8 Julai.
“Mereka yang berminat boleh memuat turun borang pada pautan
https://docs.google.com/document/d/1tg1t7teXxOqbcItrDg3X3MZr067Rf6g_/edit “ katanya.
Katanya, kursus Malim Gunung Siri Dua anjuran Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) diadakan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membabitkan latihan teori dan amali. – MOHD IMRAN IZZAD