Nak jumpa Tok Wan, nak ucap terima kasih 

Nak jumpa Tok Wan, nak ucap terima kasih 

JERANTUT: “Bila dah nanti, saya nak jumpa YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail untuk menzahirkan ucapan terima kasih kerana banyak membantu saya dan keluarga,” kata Kamarulzaman Mohd Fauzi @Jazuli, 50, yang berasal dari Batu Balai Jerantut. 

Katanya, Menteri Besar Pahang yang prihatin banyak membantu keluarganya di segi kewangan, termasuk membantu menampung kos penerbangannya pulang ke tanah air di samping melunaskan bil hospital di Korea Selatan. 

“Saya sungguh teruja dapat pulang ke Pahang, hari ini, dan tidak sabar rasanya untuk berjumpa isteri, anak dan saudara mara. 

“Walaupun saya tahu di tanah air nanti saya masih ditempatkan di hospital, namun suasana itu amat berbeza kerana berada di negara sendiri seperti kata pepatah, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri,” katanya. 

Sementara itu, Saloha Adlan, 27, yang menjaga Kamarulzaman ketika menerima rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Chungbuk, Cheongju, Korea Selatan, ketika dihubungi memberitahu bahawa keadaan kesihatan sepupurnya itu sudah stabil. 

Katanya, doktor membenarkan Kamarulzaman dibawa pulang ke Malaysia di samping memberitahu bahawa sepupunya itu mengalami strok sebelah kanan  badan. 

Menurutnya, Kamarulzaman perlu dibawa pulang segera bagi menggelak dikenakan bayaran hospital yang tinggi kerana rakyat asing. 

Saloha berkata, dia dan Kamarulzaman dan dijangka sampai di Lapangan Antarabangsa  Kuala Lumpur (KLIA) pada 10.20 malam ini.

“Kamarulzaman dijangka meneruskan rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh,” katanya. 

Kamaruzaman yang bekerja sebagai operator di kilang tisu di Korea Selatan koma selepas muntah dan pengsan di rumah sewanya. – MUHAMMAD NAJMIE