Nak kongsi wang kemenangan dengan murid

Nak kongsi wang kemenangan dengan murid

KUANTAN: “Mungkin saya akan beri sedikit (wang kemenangan) kepada anak murid saya yang saya kasihi di sekolah,” kata Samuel Isaiah yang menerima Anugerah Khas Diraja Majlis Sambutan Hari Belia Negara dan Pengurniaan Anugerah Perdana Belia Negara 2022 Peringkat Negeri Pahang.

Samuel, 35, yang menerima piala iringan dan hadiah wang tunai RM15,000 berkata, beliau juga berhasrat menggunakan wang kemenangan itu untuk pembangunan profesional perguruan di negara ini.

“Tambahan pula saya banyak terlibat dengan sekolah kurang berkemampuan dan sekarang ini terbabit dengan projek membantu sekolah Orang Asli di Perak.

“Jadi, saya akan lihat bagaimana saya boleh menyumbang untuk pembangunan profesional perguruan,” katanya.

Beliau ditemui wartawan selepas Majlis Sambutan Hari Belia Negara dan Pengurniaan Anugerah Perdana Belia Negara 2022 Peringkat Negeri Pahang, malam tadi.

Hadiah kemenangan disampaikan KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut menyaksikan, YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Ti Lian Ker; Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Mohd Johari Hussain dan Presiden Majlis Belia Negeri Pahang, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid.

Samuel sebelum ini pernah mengharumkan nama negara apabila terpilih menerima anugerah individu Paling Berpengaruh di Asia dalam Pendidikan (Asia’s Most Influential in Education) 2021 dan Gen T 2021 selain 10 finalis Anugerah Hadiah Guru Global 2020.

Turut menerima anugerah malam tadi, D Anbalagan Devar yang muncul Johan Kategori Individu Lelaki, Hafiza Mohd Khir Johari (Johan Kategori Individu Wanita) dan Persatuan Belia Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM) Felda Sri Pagi Jengka 17 yang dinobatkan sebagai Johan Kategori Pertubuhan Belia. – HELMY ABD RAHMAN