Nampak macam rindu zaman BN

Nampak macam rindu zaman BN

MELAKA: Ramai daripada kalangan pemimpin besar negara berasal dari Pahang, maka tidak hairanlah apabila kunjungan bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak dan Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail ke Melaka bagi meninjau perkembangan terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri bersejarah itu mendapat perhatian ramai.

Malah, rakyat Melaka sanggup menunggu lama semata-mata untuk menyaksikan kedua-dua pemimpin berkenaan dari dekat seperti yang berlaku di Astaka Seri Pengasih di Durian Tunggal, hari ini.

Perkara ini dikongsikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bebar merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff yang sempat mengiringi kedua-dua pemimpin minum petang di Astaka Seri Pengasih.   

“Mengiringi YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail dan Ahli Parlimen Pekan, Dato’ Sri Najib Razak hari ini meninjau perkembangan semasa sempena PRN Melaka.

“Ketika minum petang di Astaka Seri Pengasih, Durian Tunggal di sini, kelihatan ramai rakyat Melaka sanggup menunggu awal untuk melihat dari dekat kehadiran kedua-dua pemimpin hebat Pahang.

“Terima kasih rakyat Melaka yang menghargai kehadiran rombongan kami dari Pahang. Anda semua memang terbaik,” katanya.

Tambahnya, meskipun kempen PRN Melaka kali ini agak ketat apabila pihak berkuasa tidak membenarkan aktiviti perhimpunan, majlis sosial berkaitan pilihan raya, ‘walkabout’ atau berkempen dari rumah ke rumah, kehadiran rakyat Melaka untuk bertemu kedua-dua pemimpin terbabit, membayangkan mereka ‘merindui’ zaman kerajaan Barisan Nasional (BN). 

“Kepada pengundi di Melaka, pilihlah pemimpin dari sebuah kerajaan stabil dan berpengalaman luas mentadbir negara.

“Seperti di Pahang, Kerajaan BN ditunjangi Umno diketuai YAB Menteri Besar, amat stabil dengan kemajuan dan kemakmuran dikecapi semua rakyat tanpa gangguan, malah ekonomi negeri juga terus meningkat. 

“Kerajaan BN Pahang mampu memberikan pelbagai bantuan dan sumbangan kepada rakyat secara berterusan kerana kestabilan politik yang dimiliki selama ini.

“Inilah kekuatan BN… pengundi di Melaka patut mengambil kira aspek kestabilan politik,” katanya. – Fikrah Pahang