Nanti dululah…

Nanti dululah…

KUANTAN: “Saya belum dapat tarikh tuanku (KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) lagi (untuk menghadap) tapi dalam proseslah… nanti dululah,” kata YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata demikian menjawab soalan wartawan mengenai tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang.

“Buat masa sekarang, kerajaan negeri tetap berfungsi seperti biasa,” katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Jentera kepada Pengarah Pertanian Pahang di sini, hari ini. 

Ketika mengumumkan pembubaran Parlimen semalam, Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mengesyorkan semua ketua kerajaan negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor supaya membubarkan DUN masing-masing pada tarikh sama dengan Pilihan Raya Umum (PRU) Peringkat Parlimen.

Sementara itu, ditanya mengenai manifesto yang akan digunakan BN Pahang untuk PRU ke-15 (PRU-15), Wan Rosdy berkata, isi kandungan Belanjawan Pahang 2023 dibentangkan Jumaat lalu boleh dikira sebagai manifesto. 

“Bajet (belanjawan) kita itu boleh dianggap sebagai manifesto kerajaan negeri,” jelasnya. – HELMY ABD RAHMAN 

GAMBAR MUHAMMAD IZZ ZAHIN